ADLY mempertahankan kedudukan 13 kerusi PH. FOTO NSTP
ADLY mempertahankan kedudukan 13 kerusi PH. FOTO NSTP


KETUA Menteri Melaka, Adly Zahari hari ini bertegas mempertahankan kedudukan 13 kerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai faktor kukuh untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Beliau mendakwa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kekal menyokong PH.

Bagaimanapun, Adly berkata, PH sudah bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan berhubung kedudukan kerajaan negeri berasaskan situasi politik negara secara keseluruhannya.

Beliau berkata, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bebas mendakwa kononnya Barisan Nasional (BN) sudah hampir pasti mampu membentuk kerajaan negeri, tetapi selagi tiada bukti yang dikemukakan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, ia disifatkan sebagai sekadar ‘cakap politik.’

“Beliau bebas membuat sebarang dakwaan dan kalau benar ada, beliau boleh membawa bukti Aduan Bersumpah (SD) kononnya ada majoriti kerusi kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri.

“Saya sudah mengarahkan semua EXCO supaya menjalankan tugas seperti biasa kerana kita masih kerajaan negeri yang sah,” katanya selepas menziarahi lima anggota komuniti di tiga kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dalam program Ziarah Kasih, Alor Gajah, hari ini.

Adly menyampaikan wang dan bahan makanan sumbangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kepada mereka. Yang turut hadir, Penyelaras DUN berkenaan, Datuk Halim Bachik.

Beliau mengulas kenyataan Ab Rauf yang disiarkan sebuah stesen televisyen swasta semalam yang mendakwa beliau mempunyai 13 SD ADUN Melaka dari UMNO dan hanya menunggu dua lagi ADUN dari mana-mana parti yang menyokong BN untuk membentuk kerajaan negeri.

Setakat ini, ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Paya Rumput, Mohd Rafiq Naiza Mohideen dari BERSATU kekal bersama parti berkenaan selepas Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan BERSATU keluar PH dan mereka tidak menyatakan sebarang sokongan kepada BN.

Adly juga berkata, jika ada mana-mana EXCO tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan PH, ia harus dinyatakan dalam mesyuarat EXCO dan beliau bersedia untuk mengambil tindakan mencuba mengatasi masalah berkenaan.

“Kita ada mesyuarat mingguan dan segala masalah yang timbul boleh dibawa untuk dibincangkan kerana kita bekerja untuk rakyat,” katanya.

Semalam, ADUN Rembia yang juga EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis dilaporkan stesen televisyen itu sebagai mendakwa, PH gagal melaksanakan pelbagai aspek untuk memajukan masyarakat Melayu.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 6:08 PM
    Digital NSTP Subscribe