X
DUA beradik yang ditemui lemas di Sungai Jelai, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca.
DUA beradik yang ditemui lemas di Sungai Jelai, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca.
BERNAMA

SEORANG daripada dua beradik mangsa lemas Sungai Jelai di Kampung Tanjung Gahai di Lipis, didakwa ada bertanya mengenai status individu yang meninggal dunia akibat lemas pada minggu lalu.

Aslinda Abu Bakar, 44, berkata anak ketiganya, Allahyarham Siti Suhaida Mohd Rosli, 15, secara tiba-tiba mengajukan soalan itu semasa mereka sedang berehat di rumah, di Perumahan Agropolitan Gahai di sini.

“Anak bertanya jika orang mati lemas dikira mati syahid atau tidak menurut Islam. Saya jawab dengan ringkas ‘ya dikira syahid’ tanpa mengesyaki apa-apa kerana beranggapan perkara itu dipelajari di sekolah.

“Saya tidak menyangka itu petanda anak akan meninggalkan kami buat selama-lamanya akibat lemas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Lipis, hari ini.

Siti Suhaida dan kakaknya Siti Nur Hidayah, 19, ditemukan lemas pada pagi hari ini, selepas hanyut dibawa arus deras semasa mandi sungai pada petang Khamis lalu.

Aslinda berkata, anaknya memilih untuk mandi di situ bersama dua lagi anaknya yang lebih kecil dan seorang rakan, selepas meninjau keadaan air di kawasan itu sehari sebelumnya.

Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Koyan selepas selesai bedah siasat.

Sementara itu, rakan kepada Siti Nur Hidayah, Nur Aina Shazwani Muliadi, 19, berkata, kedua-dua mangsa begitu bersemangat mengajaknya untuk turut serta ke sungai dan dilihat teruja untuk mandi sebaik sahaja tiba.

“Arwah mahu ke tengah sungai apabila melihat ada sekumpulan anak Orang Asli mandi dan terapung… saya cuba menghalang tapi mereka kata kawasan itu tidak dalam kerana ada orang di situ.

“Mereka terus berjalan sehingga Siti Nur Hidayah terjatuh dan tertarik tangan saya menyebabkan kami dihanyutkan arus.

“Namun saya sempat diselamatkan Orang Asli yang berada berhampiran,” katanya.

Berita berkaitan

Dua beradik hanyut ditemui lemas

Dua beradik dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 6:35 PM
Digital NSTP Subscribe