Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman ketika sidang media di kediamannya selepas diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-8. FOTO Eizairi Shamsudin
Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman ketika sidang media di kediamannya selepas diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-8. FOTO Eizairi Shamsudin
Muhammad Saufi Hassan


“SAYA ucapkan terima kasih (atas sokongan) dan ini satu beban tanggungjawab yang besar, yang harus kita pikul dan saya bersama-sama pikul (untuk melaksanakan tanggungjawab).”

Demikian kata-kata Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melantik beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menerusi satu kiriman video berdurasi satu minit 36 saat, Muhyiddin berkata, ini adalah suatu detik bersejarah dan ia terhasil daripada sokongan parti di dalam Perikatan Nasional.

Dalam video berkenaan, beliau berucap disaksikan beberapa pemimpin di dalam Perikatan Nasional antaranya Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Saifuddin Abdullah, Tan Sri Annuar Musa dan beberapa pemimpin lain.

“Pastinya ini adalah detik bersejarah... Saya kira tidak lain tidak bukan adalah sokongan semua Ahli Berhormat Parlimen khususnya parti-parti dalam Perikatan Nasional terdiri daripada PPBM (Parti Pertubuhan Bersatu Malaysia), BN (Barisan Nasional), PAS, GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan beberapa rakan bebas lain yang membantu memberikan sokongan padu.

“Kita mendapat jumlah bilangan yang cukup dan mengikut Fasal 42 Perlembagaan Malaysia (Persekutuan), Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong yakin apa yang diputuskan itu.. Saya mendapat majoriti yang besar dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau pada masa sama menzahirkan terima kasih kepada kepimpinan dan semua Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional yang memberikan sokongan kepadanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 6:50 PM
    Digital NSTP Subscribe