Datuk Seri Salahuddin Ayub
Datuk Seri Salahuddin Ayub
Nurul Hidayah Bahaudin

TIMBALAN Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub mendakwa jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Perikatan Nasional untuk menubuhkan kerajaan adalah tidak betul.

Sebaliknya, beliau mendakwa sehingga malam ini Pakatan Harapan (PH) mempunyai sebanyak 114 kerusi.

Menurutnya, seramai 111 Ahli Parlimen sudah menandatangani akuan bersumpah (SD), manakala tiga lagi sudah memberikan ‘Aku Janji’ kepada PH.

“Setakat malam ini, kami mengumpul 114 kerusi (Parlimen yang menyokong PH).

“Semua Ahli Parlimen (PH) akan berkumpul di sini (Yayasan Al-Bukhari) pada 9 pagi esok. Ia akan berlangsung secara aman dan tidak mahu berlaku rusuhan.

“Kami hanya mahu menyatakan bahawa angka (jumlah kerusi diperolehi Perikatan Nasional) adalah tidak tepat,” katanya ketika ditemui selepas keluar meninggalkan Yayasan Al-Bukhari pada 10.30 malam ini.

Ketika ditanya mengenai angkat sumpah Perdana Menteri kelapan yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara esok, pihaknya tidak akan menghalangnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Interim yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat meninggalkan bangunan Yayasan Al-Bukhari pada 10.24 malam.

Turut dilihat meninggalkan bangunan berkenaan beberapa minit kemudian adalah Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 11:28 PM