Helikopter tempur ringan model MD 530G yang bakal digunakan Tentera Darat (TD). FOTO NSTP
Helikopter tempur ringan model MD 530G yang bakal digunakan Tentera Darat (TD). FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Faliqah Alia Radin Mohd


ENAM helikopter tempur ringan jenis MD-530G daripada syarikat Mcdonnell Douglas bakal diterima hujung tahun ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, Kabinet memberi lampu hijau kepada beberapa pakar untuk ke Amerika Syarikat (AS) awal bulan ini, bagi menentukan sijil penerbangan helikopter itu boleh diguna pakai atau sebaliknya.

"Penggunaan helikopter itu secara tidak langsung akan memantapkan lagi sistem operasi keselamatan sempadan negara terutama di Sabah. Ada banyak aspek teknikal dalam hal ini, kita serahkan kepada pakar.

“Isu pensijilan ini penting, ia seperti JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) memberi kebenaran kepada kita untuk memandu kenderaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada wawancara khas sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-87, di Wisma Pertahanan, di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Ahmad Hasbullah berkata, operasi empat helikopter Nuri milik TD digantung susulan beberapa insiden helikopter itu terhempas dan membuat pendaratan cemas, baru-baru ini.

"Kita ambil keputusan untuk bergerak ke hadapan selepas perkhidmatan Nuri milik TD digantung. Peruntukan yang diberi kepada TD akan diguna sebaik mungkin untuk dimanfaatkan bagi menjaga kedaulatan negara," katanya.

Untuk rekod, helikopter Nuri pernah beberapa kali mengalami nahas termasuk terhempas dan mendarat cemas sejak tahun 1991.

Antaranya terhempas pada 2010 di Sintok Kedah, pada 2016 di Tawau Sabah dan Butterwoth, Pulau Pinang tahun yang sama manakala yang terbaru pesawat itu melakukan pendaratan cemas pada Ogos 2019 di Kem Gubir, Alor Star.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 12:27 PM