SUSPEK ditahan orang ramai ketika bersembunyi di dalam tandas. FOTO JUWAN RIDUAN
SUSPEK ditahan orang ramai ketika bersembunyi di dalam tandas. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


SEORANG penjenayah menerima padah dicekup orang ramai selepas meragut beg tangan seorang wanita di Kompleks Karamunsing, Kota Kinabalu semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, suspek lelaki berusia 33 tahun ditahan itu orang awam ketika bersembunyi dalam tandas di kompleks berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, terdahulu mangsa wanita berusia 32 yang bekerja sebagai pembantu rumah itu dalam perjalanan dari Wisma Tun Fuad ke Gereja Sacred Heart sebelum dihampiri suspek dari arah bertentangan dan merampas beg tangannya.

“Suspek melarikan diri melintasi jalan raya menuju ke Kompleks Karamunsing dan dikejar mangsa sambil meminta tolong daripada orang ramai.

“Orang awam yang berada di sekitar kompleks itu kemudian membantu mangsa mengejar suspek hingga ke dalam tandas dan berjaya menahannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat kejadian tiba di lokasi dan menahan suspek terbabit untuk siasatan.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan ringan ke atas suspek dipercayai akibat bergelut dengan orang awam ketika tangkapan dilakukan.

“Setakat ini, semua barang milik mangsa berjaya ditemui semula dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah syabu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 3:16 PM