NOOR Hisham pada sidang media berkenaan status semasa kes jangkitan COVID-19. FOTO BERNAMA
NOOR Hisham pada sidang media berkenaan status semasa kes jangkitan COVID-19. FOTO BERNAMA
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat dua orang kenamaan yang dikatakan dijangkiti koronavirus baharu (Covid-19) yang dikaitkan dengan kes ke-26 di negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, individu yang menjadi menjadi kes ke-26 sedang dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh dan dilaporkan stabil.

Menurutnya, lima kontak rapat yang terdiri daripada ahli keluarga, pembantu khas dan kakitangan kesihatan swasta juga sudah disahkan negatif Covid-19 hasil ujian saringan namun pengesahan kontak rapat masih terus dijalankan.

“Sehingga hari ini, KKM mengesahkan tiada sebarang kes baru Covid-19 dikesan dan jumlah masih kekal 29 kes iaitu 17 orang dalam kalangan pesakit di bawah pemantauan, kontak rapat (10) dan dua rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Dalam 29 kes yang dilaporkan, 22 daripadanya sudah disahkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital. Tujuh lagi masih menerima rawatan di wad isolasi di beberapa hospital di Lembah Klang dan dilaporkan stabil,” katanya.

Menurutnya, dalam gelombang pertama, kebanyakan kes Covid-19 yang dikesan adalah kes import dari China dan hanya dua kes transmisi tempatan.

Beliau berkata, 221 orang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan tujuh kes yang dirawat di hospital dengan dua daripadanya disahkan positif manakala 74 kes lagi negatif selain 82 kes menunggu keputusan makmal serta 63 proses pengambilan sampel.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan berita mengenai kes jangkitan Covid-19 yang masih belum mendapat pengesahan daripada KKM bagi mengelak situasi panik dan salah faham dalam kalangan masyarkat.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dengan baik dan sentiasa mencuci tangan dengan air atau sabun selain menggunakan pembasmi kuman.

“Bagi mengetahui perkembangan lanjut mengenai Covid-19, orang ramai dinasihatkan agar melayari laman web KKM dan boleh menghubungi infoline Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis di talian 03-88810200/03-88810600/03-88810700 atau emel [email protected],” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 4:06 PM