ABDUL HAMID BADOR
ABDUL HAMID BADOR
Amir Abd Hamid


“SAYA ada dengar tetapi ia tidak ada pengesahan, itu memang berisiko,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador apabila ditanya mengenai tular dua orang kenamaan (VIP) disyaki dijangkiti virus Covid-19.

Beliau turut berada di Istana Negara termasuk dua VIP berkenaan ketika Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Abdul Hamid berkata, sebaik-baiknya individu terutamanya berurusan dengan pelancong atau warga asing khususnya di lapangan terbang perlulah selalu berhati-hati dan sentiasa mendapatkan pemeriksaan di hospital dan pusat kesihatan.

“Mengenai langkah berjaga-jaga yang dilakukan PDRM, kita ada dalam jawatankuasa utama menangani Covid-19 di peringkat Kabinet.

“Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani hadir dalam mesyuarat itu

“Pelbagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat itu. Kita laksanakan setakat ini ialah sentiasa mengingatkan anggota atau pegawai bertugas di barisan hadapan menjaga pusat kuarantin khususnya di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) supaya sentiasa mengamalkan prosedur kebersihan,” katanya ketika ditemui media, di Bukit Aman, hari ini.

Beliau turut menjelaskan sudah meminta jasa baik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya pegawai dan anggota polis yang ditugaskan di pusat kuarantin diberikan suntikan pencegahan.

Selain itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersedia apa sahaja bantuan yang diminta KKM untuk mengesan pesakit yang lari dari pusat kuarantin.

“Cari mereka bukanlah sebagai orang buruan tetapi orang sakit yang lari meninggalkan pusat kuarantin perlu dibawa balik semula ke pusat berkenaan.

“Setiap anggota polis yang menjalankan tugas ini pula akan menjalani semula saringan Covid-19 secepat mungkin supaya mereka tidak dijangkiti,” katanya.

Tular di media sosial, Pengerusi UDA Holdings Bhd (UDA) Datuk Hisham Hamdan positif Covid-19.

Semalam, Khazanah Nasional Berhad mengesahkan salah seorang kakitangannya dijangkiti wabak Covid-19 dan ada kaitan kerana suspek pernah ke Shanghai pada pertengahan Januari lalu.

Kakitangan itu adalah kes-26, iaitu satu daripada empat kes baru penghidap wabak berkenaan.

Sementara itu, portal Malaysiagazette melaporkan Hisham juga sebelum itu dilihat bersama-sama dengan pimpinan baharu kerajaan termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof juga dikatakan duduk semeja dan berborak berjam-jam bersama Hisham semasa majlis perpisahan bekas menteri berkenaan pada Khamis lalu di sebuah hotel.

Turut bersama ketika majlis yang sama ialah timbalannya, Datuk Dr Hatta Ramli dan barisan pegawai kanan kementerian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihak KKM sedang menyiasat dan mengambil tindakan.

“KKM ingin merujuk kepada maklumat yang ditularkan di media sosial mengenai dua orang kenamaan yang dikatakan disyaki dijangkiti COVID-19 dan dikaikan dengan kes ke-26 COVID-19. Perkara ini sedang disiasat dan diambil tindakan oleh pihak KKM,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 4:19 PM
    Digital NSTP Subscribe