DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO NSTP
BERNAMA

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memuji tindakan segera diambil Pakar Perunding Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur Datuk Dr Sanjiv Joshi yang secara sukarela menjarakkan dirinya dari hospital, klinik dan keluarganya selama 14 hari.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata, walaupun Dr Sanjiv diuji negatif bagi Covid-19, beliau terus kuarantin dirinya semasa tempoh inkubasi kerana ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

“Dr Sanjiv merawat Kes 29 (wanita berusia 35 tahun yang berkongsi bilik dengan Kes 24) yang kemudiannya diuji positif Covid-19. Dr Sanjiv sukarela menjarakkan dirinya bagi tempoh 14 hari (daripada orang awam), saya berharap semua kontak rapat beliau akan meniru tindakan beliau untuk melakukan apa yang betul,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan dikeluarkan Hospital Pantai Kuala Lumpur hari ini bahawa hospital swasta itu telah kuarantin semua petugas dan pesakit yang mempunyai kontak dengan pesakit warga Jepun (Kes 24) bermula 26 Februari.

Terdahulu, tular mesej WhatsApp yang meminta orang ramai menghindari (Hospital) Pantai Bangsar bagi tempoh 10 hari akan datang, yang Dr Sanjiv sedang menjalani kuarantin kerana seorang daripada pesakitnya (kes 29) dimasukkan ke Hospital Pantai Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19 daripada kes 24.

Hospital Pantai Kuala Lumpur dalam kenyataannya menyebut bahawa pelajar jururawat (kes 27) dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 29 Februari selepas beliau mempunyai kontak dengan pesakit warga Jepun (kes 24) pada 21 dan 22 Februari.

“Semua petugas dan pesakit yang mempunyai kontak dengan pelajar jururawat telah dikesan mempunyai kontak dan diletakkan di bawah kuarantin. Ujian awal Covid-19 ke atas mereka diuji negatif dan keadaan mereka akan terus dipantau,” menurut kenyataan itu.

Hospital Pantai Kuala Lumpur berikrar akan terus mematuhi pematuhan ketat dasar dan proses kawalan jangkitan serta langkah pencegahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan untuk memastikan semua kakitangan dan pesakit selamat.

“Hospital ini mengamalkan pelbagai langkah pencegahan termasuk mengehadkan pintu masuk ke hospital dan memeriksa suhu dan gejala setiap orang yang datang ke hospital. Oleh itu, perkhidmatan klinikal di Hospital Pantai Kuala Lumpur tidak terjejas dan pesakit boleh meneruskan rancangan penjagaan yang ada di hospital,” menurut kenyataan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 10:44 AM
    Digital NSTP Subscribe