X
BOT Vietnam yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan untuk ceroboh perairan negara. FOTO Zaid Salim.
BOT Vietnam yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan untuk ceroboh perairan negara. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


LAMBANG salib yang terdapat pada bot membongkar status vesel itu yang sebenarnya milik nelayan Vietnam.

Bot berkenaan dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama sebuah bot lain di kedudukan 107 dan 105 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, semalam.

Kedua-duanya menggunakan nombor pendaftaran tempatan untuk mengaburi pihak berkuasa tempatan.

Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pasukan dari Kapal Maritim (KM) Segantang dan Bot Maritim Terengganu yang melakukan rondaan mengesan dua bot itu ketika Op Naga Barat dan Op Iman

Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati kedua-duanya menceroboh perairan negara dan mencuri hasil marin.

“Anggota terpaksa mengambil masa lebih setengah jam untuk menahan bot berkenaan yang cuba melarikan diri ke sempadan perairan.

“Meskipun cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan nombor pendapatan tempatan, struktur dan reka bentuk bot mereka tetap nampak berbeza selain, lambang salib pada bot,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan menemui empat tan hasil marin, 4,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan yang keseluruhannya bernilai RM2 juta termasuk bot.

Muhammad Suffi berkata, 23 awak-awak dan tekong berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah.

Katanya, bot dan tahanan dibawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh perairan negara dan rondaan serta pemantauan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa mengekang jenayah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:29 PM