MOTOSIKAL yang dirampas. FOTO Ihsan POLIS JOHOR
MOTOSIKAL yang dirampas. FOTO Ihsan POLIS JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


GENG Amy Gaban yang mendalangi jenayah curi motosikal di daerah Kota Tinggi ini tumpas selepas polis menahan 10 lelaki tempatan dalam beberapa siri tangkapan kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata suspek berusia 27 hingga 30 tahun itu diberkas di sekitar Felda Bukit Waha dan Felda Simpang Waha, dekat sini oleh Pasukan Khas Lejang antara 12.30 tengah malam kelmarin hingga 3.30 pagi semalam.

Katanya, hasil siasatan awal, kumpulan itu diketuai oleh seorang lelaki tempatan dengan nama panggilan Amy Gaban yang aktif sejak tiga bulan lalu.

“Modus operandi geng ini ialah mencuri motosikal dan kemudian membuat nombor casis dan enjin baru ke atas motosikal terbabit.

“Dengan tumpasnya geng penjenayah ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes curi motosikal.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kes jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

PERALATAN mencuri motosikal. FOTO Ihsan POLIS JOHOR
PERALATAN mencuri motosikal. FOTO Ihsan POLIS JOHOR

Beliau berkata, tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Katanya, antara yang dirampas ialah motosikal Honda EX5, Honda Wave 125, Yamaha LC 135 dan Yamaha Y150, selain 19 peralatan untuk mengubahsuai nombor chasis dan enjin seperti pembaris besi, pemutar skru, tukul besi serta kikir kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:51 PM
Digital NSTP Subscribe