Noor Atiqah Sulaiman


ORGANISASI yang dikesan terkait dengan kes positif koronavirus baharu (Covid-19) tidak perlu membuat penutupan pejabat, sebaliknya memadai mengambil langkah pencegahan kebersihan atau disinfeksi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya juga berharap supaya semua pihak dapat memberikan kerjasama kepada kementerian bagi mendapatkan maklumat tepat.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan berharap semua pihak dapat bertenang dan sentiasa bekerjasama dengan memberi maklumat yang tepat apabila dihubungi atau dikenal pasti sebagai kontak rapat.

“Selain itu, kementerian mahu menasihatkan orang ramai untuk tidak menularkan sebarang maklumat yang boleh memberi kebimbangan kepada orang awam.

“Buat masa ini, keadaan masih terkawal,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan di Putrajaya, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Sebelum ini, media melaporkan FELCRA Berhad (FELCRA) menghentikan operasi di ibu pejabatnya bermula hari ini hingga Jumaat selepas seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan disahkan positif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Mohd Nazrul Izam Mansor dilaporkan berkata, pemberhentian operasi itu bagi membolehkan kerja pembersihan dan sanitasi dibuat secara menyeluruh.

Selain itu, syarikat berkenaan turut mengenal pasti kakitangan yang mempunyai kontak rapat dengan individu berkenaan dan semua mereka sedang menjalani ujian saringan kesihatan di hospital berdekatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 5:58 PM
    Digital NSTP Subscribe