MUHAMMAD Fawwaz ditahan lagi di wad kerana demam. FOTO Ihsan Mohd Bukhari Zainal Annuar
MUHAMMAD Fawwaz ditahan lagi di wad kerana demam. FOTO Ihsan Mohd Bukhari Zainal Annuar
Redzuan Muharam


SELEPAS lebih dua bulan mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kanak-kanak yang parah di kepala akibat dihempap peti ais Julai lalu di Taman Desa Cempaka, Nilai, hanya menunggu masa untuk dibenarkan pulang.

Bagaimanapun, hasrat membawa balik Muhammad Fawwaz Adli Mohd Bukhari, 6, yang sepatutnya dibenarkan keluar dari hospital itu hari ini, terpaksa ditangguhkan kerana kanak-kanak itu demam.

Bapanya, Mohd Bukhari Zainal Annuar, 34, berkata, doktor memaklumkan mengenai perkara itu tengah hari tadi selepas menjalankan pemeriksaan dan mendapati anaknya masih belum sembuh daripada demam.

Menurutnya, doktor tidak memberi jaminan sehingga bila Muhammad Fawwaz ditahan di wad kerana semuanya bergantung pada tahap kesihatannya.

“Ikutkan, Fawwaz dibenarkan keluar hari ini kerana menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani pembedahan ke-12 pada 23 Februari lalu.

“Namun, dia tiba-tiba demam malam tadi dan tidak surut hingga hari ini menyebabkan dia terus ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan.

“Saya ada bertanya dengan doktor sehingga bila Fawwaz akan ditahan di wad tetapi tidak diberi tarikh khusus dan jaminan kerana bergantung kepada keadaan kesihatannya,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak HKL, hari ini.

Mohd Bukhari berkata, dia akur dengan keputusan doktor dan akan mengikut nasihat diberikan demi kebaikan anaknya yang dimasukkan ke wad sejak 17 Disember lalu.

Berkongsi perkembangan terkini Fawwaz, Mohd Bukhari berkata, anaknya kini masih tidak boleh bertutur, berjalan dan makan tetapi dapat minum susu menggunakan tiub yang disambung pada hidung.

“Memang saya mahu melihat Fawwaz sembuh dan keluar dari hospital kerana kasihan dengannya yang sudah lama ditahan di dalam wad.

“Namun, saya enggan terburu-buru sebaliknya akan mengikut saranan disyorkan doktor untuk melihat Fawwaz kembali sembuh.

“Lagipun, saya lihat banyak perubahan pada Fawwaz antaranya tidak lagi merengek seperti dulu malah saya bersyukur kerana dia selamat menjalani pembedahan baru-baru ini,” katanya yang tidak bekerja kerana perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada Muhammad Fawwaz.

Muhammad Fawwaz parah di kepala selepas dihempap peti ais pada 12 Julai tahun lalu dalam kejadian di rumahnya di Taman Desa Cempaka, Nilai.

Sebelum dimasukkan ke HKL, Muhammad Fawwaz pernah menerima rawatan selama lima bulan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Berita berkaitan \

Rindu Fawwaz panggil abah

Fawwaz mungkin sembuh tiga tahun lagi

'Bangunlah Fawwaz...'

Kanak-kanak parah ditimpa peti ais

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 7:18 PM