Farah Marshita Abdul Patah


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal menemuramah Putera Arab Saudi, Putera Saud Abdul Aziz Malik Abdul Aziz secara langsung ketika berada di Riyadh, Arab Saudi, kerana baginda mempunyai ‘kekebalan’.

Sebaliknya, bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Fikri Ab Rahim, berkata keterangan Putera Saud itu diambil melalui seorang peguam dilantik baginda iaitu Muhammad Abdullah Al Koman.

Fikri dalam keterangannya, berkata selain gagal menemuramah Putera Saud secara terus, baginda tidak menandatangani keterangan diberikan menerusi Al Koman.

“Malah, keterangan itu ditandatangani Al Koman bagi pihak Putera Saud,” katanya pada perbicaraan kes SRC International dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Saksi ke-12 pembelaan itu berkata, keterangan diambil daripada Putera Saud itu berhubung empat keping surat membabitkan derma RM2.6 bilion daripada Kerajaan Diraja Arab Saudi kepada Najib.

Ketika diminta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menceritakan semula kejadian pada 29 November 2015, Fikri, berkata beliau pergi ke Riyadh bersama pegawai penyiasat, Nasharudin Amir; Pegawai SPRM, Mohd Hafaz Naza; Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang ketika itu sebagai wakil Pejabat Peguam Negara.

Katanya, sebaik tiba di istana, mereka diperkenalkan kepada tiga putera Arab iaitu Putera Faisal, Putera Turki dan Putera Saud Abdul Aziz.

FIKRI hadir memberi keterangan pada prosiding bela diri Najib di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS.
FIKRI hadir memberi keterangan pada prosiding bela diri Najib di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS.

“Sebelum keterangan diambil SPRM, mereka bersetuju mengeluarkan pasport untuk tujuan pengecaman, namun kami tidak dibenarkan membuat salinan fotokopi kerana Putera Turki memaklumkan mereka mempunyai kekebalan.

“Pihak SPRM tidak dibenarkan berada dekat dengan putera berkenaan kerana protokol diraja,” katanya.

Pada pemeriksaan utama oleh Muhammad Shafee, Fikri turut memberitahu mahkamah, ketika di Riyadh, SPRM sempat mengambil keterangan Eric Tan Kim Loong yang didakwa sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi membantu siasatan kes.

“Eric Tan kelihatan sudah biasa dengan keadaan istana dan boleh bercakap secara langsung dengan ketiga-tiga putera Saudi itu.

“Berlainan dengan kami yang perlu menjaga protokol ketika berada di dalam istana.

“Kami mencapai kesepakatan bersama peguam Datuk Selva Mookiah yang mewakili Eric Tan iaitu anak guamnya tidak akan ditangkap sekiranya memberikan kerjasama kepada pihak SPRM,” katanya.

Fikri berkata, kesepakatan itu diberikan kepada dua lagi individu yang mempunyai kaitan dengan SRC International iaitu ketua pegawai eksekutif dan bekas pengarahnya, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Suboh Md Yassin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 7:49 PM