ABDUL Karim melakukan pemeriksaan akhir sebelum proses penghantaran pulang tulang-tulang prasejarah dari University of Florida ke Kuching.
ABDUL Karim melakukan pemeriksaan akhir sebelum proses penghantaran pulang tulang-tulang prasejarah dari University of Florida ke Kuching.

LEBIH 100 rangka tulang manusia purba berusia kira-kira 40,000 tahun yang ditemui di Gua Niah dan disimpan di Florida, Amerika Syarikat (AS) akan tiba di Kuching malam ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, rangka tulang itu kemudian akan dipamerkan di Muzium Sarawak.

“Saya ke Florida pada minggu lepas dan melihat sendiri mereka membungkus rangka berkenaan untuk dibawa balik ke Kuching.

“Ini yang kita tunggu-tunggu selama lebih 50 tahun. Ini adalah tulang nenek moyang kita,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kraftangan Miri hari ini.

Yang hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting, Setiausaha Tetap Kementerian Hii Chang Kee dan Setiausaha Majlis Bandaraya Miri (MBM) Morshidi Frederick.

Menurut Karim, usaha membawa pulang rangka tulang berkenaan sudah dilakukan sejak sekian lama dan akhirnya berjaya.

Katanya, tulang itu sebelum ini dibawa ke Universiti Nevada, Las Vegas bagi tujuan penyelidikan pada awal 60-an sebelum berpindah ke Universiti Florida di Gainesville beberapa tahun lalu untuk dokumentasi.

“Tulang berkenaan digali sekitar 50-an hingga 60-an dan dihantar ke Amerika Syarikat bagi tujuan kajian memandangkan Sarawak pada masa itu tidak mempunyai kemudahan bagi melaksanakan kajian terperinci mengenai tulang itu,” katanya.

Sementara, Karim berkata, lokasi baharu akan dibuka bagi terus meneroka artifak bersejarah atau rangka manusia di tapak penggalian Gua Niah.

Menurutnya, tapak ketiga itu akan digali pada bulan ini bagi melihat jika terdapat lebih banyak artifak atau rangka manusia yang pernah tinggal di Gua Niah dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 9:13 PM