GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nor Fazlina Abdul Rahim


TIGA beranak dari Kuala Krai, yang disyaki dijangkiti Covid-19 akibat mengalami demam selepas pulang dari Korea Selatan, disahkan negatif wabak berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr ZainiHussin, berkata ia berdasarkan keputusan ujian makmal diperoleh petang hari ini.

“Hari ini tular kononnya tiga orang disyaki dijangkiti Covid-19 di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

“Pada petang ini, keputusan ujian makmal ketiga-tiga kes ini sudah pun diperoleh dan didapati negatif Covid-19.

“Sehingga hari belum ada kes disahkan positif Covid-19 di Kelantan. Pengurusan kes disyaki Covid-19 adalah berdasarkan garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, tular laporan mengatakan tiga beranak yang baru pulang bercuti dari Korea Selatan disyaki dijangkiti Covid-19 selepas mengalami demam.

Tiga beranak berkenaan iaitu seorang wanita berusia 53 tahun dan dua anaknya berusia 20 dan 23 tahun dikuarantin di rumah selepas mendapatkan rawatan di hospital.

Mereka dikatakan bercuti ke Korea Selatan pada 20 Februari lalu sebelum kembali ke tanah air pada 24 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, sehingga hari ini, sebanyak 26 kes disyaki Covid-19 dikesan di negeri ini dan ujian makmal menunjukkan semua 26 kes itu adalah negatif.

“Sehubungan itu, pihak kami meminta semua lapisan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri yang baik seperti kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan ‘hand sanitizer’, mengamalkan etika batuk betul dan mengelak daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 10:08 PM
    Digital NSTP Subscribe