LELAKI terbabit. FOTO Ihsan JAIK
LELAKI terbabit. FOTO Ihsan JAIK
Zuliaty Zulkiffli


SEORANG lelaki memberi alasan hanya menemani dan menjaga teman wanitanya yang demam ketika dicekup berkhalwat di sebuah rumah di tepi kilang topi keledar di Jalan Sungai Korok, di Jitra, semalam.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam, lelaki berusia 33 tahun itu dicekup berkhalwat dengan janda berusia 40 tahun.

Mereka diberkas oleh sepasukan anggota dari Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Undang-undang Syariah, Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, operasi diketuai Muhammad Ihsanudin Mohd Azahar bersama sepasukan anggota PADKP itu sejurus menerima maklumat awam berhubung kegiatan maksiat di rumah terbabit.

Katanya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, pintu rumah itu dibuka oleh seorang wanita, selepas kira-kira lapan minit.

“Ketika itu, wanita terbabit ditemui memakai kemeja-T dan berkain batik dan memberi alasan tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dalam bilik menemui lelaki itu ditemui bersembunyi di sebalik baju yang digantung dalam bilik berkenaan dan dia hanya berseluar pendek tanpa baju,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Radzi berkata, ketika disoal siasat, pasangan itu mengaku tidak mempunyai sebarang mahram atau suami isteri menyebabkan mereka disyaki berkhalwat.

Beliau berkata, lelaki itu memberi alasan hanya menemani wanita itu kerana demam.

“Berikutan itu, anggota PADKP menahan mereka dan membawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 8:35 AM