FELCRA Berhad
FELCRA Berhad
Mohd Nasaruddin Parzi


FELCRA Berhad (FELCRA) akan meneruskan pelaksanaan operasi pembersihan sanitasi secara menyeluruh membabitkan enam tingkat di Wisma FELCRA sehingga hari ini bagi menangani penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, persekitaran dan kawasan dalaman premis Wisma FELCRA dibersihkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi meningkatkan keyakinan kakitangan apabila kembali bertugas, Isnin ini.

Bagi tujuan memperkasakan lagi usaha pencegahan ini, katanya, semua kakitangan di ibu pejabat dan pelawat akan menjalani ujian suhu sebelum dibenarkan memasuki bangunan pejabat Isnin ini.

“Bagi mereka yang merekodkan suhu badan melebihi 38 darjah celsius, mereka tidak dibenarkan memasuki pejabat dan akan diaturkan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut,” katanya pada kenyataan.

Beliau berkata, gerak kerja harian FELCRA berjalan seperti biasa menggunakan teknologi komunikasi terkini yang menghubungkan ibu pejabat, semua wilayah dan kawasan.

“Dalam tempoh ini juga, semua peserta, kontraktor dan pembekal boleh berurusan seperti biasa dengan mana-mana bahagian di ibu pejabat menggunakan kemudahan komunikasi sedia ada.

“Keadaan ketika ini juga terkawal dan selamat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 3:28 PM