HISHAM Hamdan. FOTO arkib NSTP
HISHAM Hamdan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


PENGERUSI UDA Holdings Berhad, Datuk Hisham Hamdan menafikan gelombang kedua Covid-19 di negara ini berpunca daripadanya.

Dalam kenyataan, hari ini, beliau memaklumkan mendapat simptom demam dan batuk pada 27 Februari lalu sebelum mendapatkan rawatan dan ujian termasuk untuk Covid-19 di hospital swasta di Subang Jaya kerana bimbang dirinya dijangkiti demam denggi.

“Selepas itu, saya pulang dan tinggal di rumah sebelum keesokannya saya dimaklumkan positif virus berkenaan dan diminta pergi ke Hospital Sungai Buloh untuk pengasingan dan rawatan.

“Ia menjadikan saya individu ke-26 disahkan virus berkenaan, namun tidak bermaksud bahawa saya adalah individu ke-26 dijangkiti Covid-19 kerana terdapat kemungkinan orang lain sudah dijangkiti sebelum ini tetapi tidak diuji.

“Gelombang kedua kes Covid-19 di Malaysia berkaitan dengan saya adalah jelas tetapi yang dikaitkan dengan saya dan berasal dari saya adalah dua perkara yang sama sekali berbeza,” katanya.

Hisham yang juga kakitangan Khazanah berkata, beliau bekerjasama dengan pihak hospital terbabit bagi membuat senarai pencarian kenalan bersama rakan-rakan di kedua-dua agensi berkenaan.

“Malah, keluarga saya juga sudah diuji dan didapati negatif, namun dua individu iaitu pemandu saya di UDA serta paramedik hospital swasta berkenaan yang merawat saya turut terkena jangkitan virus itu yang sedang menerima rawatan.

“Saya ada menghadiri beberapa mesyuarat bersama individu ke-21 hingga ke-27 yang disahkan positif virus berkenaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mengesan individu yang berkemungkinan dijangkiti,” katanya.

Katanya, terdapat beberapa mesyuarat dihadirinya pada 24 Februari membabitkan 13 ahli lembaga bukan pengurusan dan individu pengurusan yang kemudian didapati negatif.

“Saya juga ada menghadiri majlis dalam kapasiti saya sebagai Pengerusi UDA pada 27 Februari lalu tetapi saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak menghadiri sebarang majlis politik,” katanya.

Hisham berkata, ketika lawatan beliau ke Shanghai untuk menghadiri persidangan bermula 13 hingga 17 Januari lalu, tiada kes Covid-19 disahkan dari bandar raya berkenaan ketika itu.

“Seminggu selepas saya pulang dari Shanghai, KKM mengeluarkan nasihat untuk Malaysia menangguhkan atau mengelakkan perjalanan ke China. Ini semuanya berlaku selepas saya pulang dari Shanghai.

“Selain itu, semua penyelidikan saintifik dan perubatan yang kita ketahui setakat ini menunjukkan virus berkenaan mempunyai masa inkubasi selama dua minggu. Memandangkan saya balik pada 17 Januari dan menunjukkan simptom pada 27 Februari, tidak mungkin bagi saya untuk mendapatkan virus itu daripada perjalanan saya ke Shanghai.

“Malah, individu rapat terawal yang berkaitan dengan saya adalah daripada mesyuarat pada 21 Februari iaitu lima minggu selepas saya pulang. Ia adalah jelas bahawa lawatan saya ke Shanghai tidak dikaitkan dengan pengesahan positif Covid-19 terhadap saya,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk memberi sokongan penuh kepada individu dijangkiti virus berkenaan dan menggunakan fakta betul sebelum menyebarkan berita atau pendapat selain menghormati kerahsiaan mereka yang sedang menjalani pemulihan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 1:28 PM