GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


“SAYA dan ibu bapa lain ada yang mengambil keputusan tidak menghantar anak ke sekolah buat sementara waktu kerana bimbang dijangkiti koronavirus baharu (Covid-19),” kata seorang bapa yang enggan dikenali selepas seorang murid tahun tiga sebuah sekolah rendah di Hulu Langat disyaki Covid-19.

Menurutnya, walaupun anaknya yang juga murid tahun tiga berlainan kelas namun perasaan bimbang tetap ada kerana kanak-kanak terbabit mungkin sudah ke merata kawasan di dalam sekolah terbabit.

“Saya cuma dimaklumkan kanak-kanak terbabit dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dikuarantinkan.

“Sekolah juga masih berjalan seperti biasa namun kerana bimbang saya dan ibu bapa lain mengambil keputusan tidak menghantar anak ke sekolah hari ini,” katanya.

Katanya, kanak-kanak terbabit difahamkan adalah anak kepada pesakit Covid-19 ke 32.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Selangor, Dr Mahanom Mat Sam berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah melawat sekolah berkenaan semalam.

“Sebaik menerima maklumat itu, PPD dan pejabat kesihatan daerah sudah ke sekolah terbabit semalam dan melaksanakan perkara yang sepatutnya.

“Pihak sekolah juga sudah dinasihatkan dan pemeriksaan suhu turut dilaksanakan kepada warga sekolah yang hadir ke sekolah untuk proses pembelajaran,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula ketika dihubungi berkata, ujian ke atas kanak-kanak terbabit mendapati dia negatif Covid-19 namun kanak-kanak terbabit masih tidak dibenarkan ke sekolah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 4:29 PM
    Digital NSTP Subscribe