FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

SEORANG pengurus premis aksesori dan barangan elektrik didenda RM58,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 2,324 unit jam tangan dan seterika pelbagai jenama tiruan, Isnin lalu.

Hakim Manira Mohd Nor turut memerintahkan tertuduh, Sabir Adnan Raza, 36, yang merupakan warga Pakistan, menjalani hukuman penjara lapan bulan, sekiranya dia gagal membayar denda.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam membayar denda itu.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Raya Laut di sini, kira-kira 12 tengah hari, 2 Mac lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang tiruan dan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur Mustaza Nabila Muslimin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana kesalahannya membabitkan penjualan barangan tiruan termasuk peralatan elektrik yang tiada kelulusan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Perbuatan tertuduh juga turut memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan menjejaskan kemasukan pelabur-pelabur ke negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 7:24 PM