ANGGOTA polis melakukan serbuan di lima pusat hiburan di empat daerah dalam Selangor iaitu Petaling Jaya, Serdang, Subang Jaya dan Gombak, tengah malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA polis melakukan serbuan di lima pusat hiburan di empat daerah dalam Selangor iaitu Petaling Jaya, Serdang, Subang Jaya dan Gombak, tengah malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 66 pengunjung pusat hiburan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam serbuan di lima pusat hiburan di Subang Jaya, Petaling Jaya, Gombak dan Serdang, Selangor, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, operasi berkenaan dijalankan pihaknya kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

“Seramai 265 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, kami menahan 65 warga asing serta seorang warga tempatan lingkungan 19 hingga 60 tahun kerana positif dadah dan membekalkan bahan terlarang berkenaan.

“Kami turut merampas tiga pil eramin 5 dan serbuk ekstasi dianggar seberat 5.74 gram bernilai RM332,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama.

“Operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan pengunjung premis hiburan tidak menyalahgunakan dadah untuk tujuan hiburan.

“Pada masa sama, risikan dan operasi akan dilakukan secara berterusan dalam usaha membanteras kegiatan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 3:48 PM
Digital NSTP Subscribe