DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


KEMENTERIAN Kesihatan buat masa ini masih mengekalkan tempoh inkubasi COVID-19 selama 14 hari dan tidak bercadang untuk menambah tempoh berkenaan seperti yang disarankan oleh pakar sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tempoh yang dilakukan di negara ini adalah berdasarkan kepada kajian dan fakta oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, WHO yang boleh menentukan tempoh inkubasi berkenaan dan setakat ini pertubuhan itu mengekalkan tempoh 14 hari untuk inkubasi individu yang dijangkiti COVID-19.

“KKM bukan WHO (untuk tentukan tempoh inkubasi), KKM ikut WHO (saranan sama ada perlu ditambah tempoh inkubasi atau sebaliknya).

“Kita berdasarkan kepada fakta dan kajian, setakat ini mengikut kajian serta panduan oleh WHO adalah tempoh 14 hari,” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan data terbaru berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

Kajian oleh sekurang-kurangnya 36 penyelidik dari hospital dan institusi perubatan di China itu mendapati kurang separuh daripada mangsa terbabit menunjukkan simptom dijangkiti virus itu apabila pertama kali bertemu doktor.

Di Malaysia, COVID-19 kini sudah memasuki gelombang kedua dengan 93 individu dilaporkan positif wabak berkenaan sejak 27 Februari lalu.

Individu yang dilaporkan positif bagi gelombang kedua itu dijangkiti wabak berkenaan daripada dua kluster berbeza iaitu dari kes ke-26 dan kes-33.

Semalam, sebanyak 10 kes baharu dilaporkan positif dan ia adalah kontak rapat kepada kes ke-33.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 11:13 AM