AKTIVITI terapi berkuda untuk kanak-kanak OKU di unit berkuda DBKL Taman Titiwangsa. FOTO Zunnur Al Shafiq.
AKTIVITI terapi berkuda untuk kanak-kanak OKU di unit berkuda DBKL Taman Titiwangsa. FOTO Zunnur Al Shafiq.
BERNAMA

KERAJAAN negeri akan memulakan program terapi berkuda secara percuma kepada golongan orang kurang upaya (OKU) di Terengganu Equestrian Resort (TER) dekat Kuala Terengganu, April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia adalah sebahagian program yang dijalankan oleh Riding For Disable (RDA) Terengganu.

“TER adalah lokasi kedua program terapi berkuda ini untuk dimanfaatkan OKU dari lima daerah berdekatan iaitu Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Kemaman dan Dungun.

“Ia susulan kejayaan program perintis itu di TIEP (Taman Endurance Antarabangsa Terengganu) dekat Lembah Bidong di Setiu yang sudah dimulakan sejak Oktober tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Setiu, hari ini.

Ketika ini program terapi berkuda itu diadakan dengan kerjasama empat agensi iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu; Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu; Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu.

Wan Sukairi yang juga Pengerusi RDA Terengganu berkata, sesi terapi berkuda itu dijalankan setiap hari dari Ahad hingga Khamis bergantung kepada jadual ditetapkan secara bergilir untuk pelajar OKU, pelajar kategori lembam dan OKU dewasa.

“Maklum balas yang diterima dari peserta dan keluarga mereka sangat positif kerana kebanyakan OKU ini menunjukkan perubahan lebih ceria, berkeyakinan dan lebih fokus.

“Program terapi berkuda ini mensasarkan 100 peserta dari setiap daerah yang kita jangka memberi manfaat kepada 800 OKU sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 1:55 PM
Digital NSTP Subscribe