MASJID baharu RKT KESEDAR Lebir bakal mendapat kebenaran MAIK untuk solat Jumaat dalam masa terdekat ini. FOTO Ramli Ibrahim
MASJID baharu RKT KESEDAR Lebir bakal mendapat kebenaran MAIK untuk solat Jumaat dalam masa terdekat ini. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


BERIKUTAN berlaku perebutan jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK), masjid baharu bernilai RM1.1 juta yang siap dibina di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Lebir, Gua Musang, masih ditangguhkan untuk kebenaran solat Jumaat.

Berikutan itu, jemaah di RKT KESEDAR masih menggunakan masjid lama yang kerap ditenggelami banjir ketika musim tengkujuh setiap tahun untuk solat Jumaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Amran Ariffin berkata, masjid baharu itu siap dibina lebih dua tahun lalu, namun disebabkan ada peneroka dipengaruhi parti politik berlaku perebutan menjadi AJK masjid sehingga kebenaran solat Jumaat ditangguhkan.

Beliau berkata, kini masalah itu sudah reda dan kemungkinan kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat di masjid baharu dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini.

“Saya akan berbincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi mendapat kebenaran itu secepat mungkin.

“Sepatutnya masjid baharu itu sudah lama dibuka untuk solat Jumaat, tetapi terhalang dengan perebutan AJK,” katanya ketika meninjau masjid baharu itu di Gua Musang, hari ini.

Ariffin berkata, masjid baharu itu cukup selesa dan dibina di atas bukit bagi menggantikan masjid lama yang berada di kawasan rendah dan kerap rosak selepas ditenggelami banjir setiap tahun.

Beliau berkata, masjid baharu itu boleh memuatkan 700 jemaah termasuk untuk solat Jumaat selain banyak ruangan disediakan untuk jemaah mendengar ceramah agama.

Katanya, selepas masjid itu siap dibina ia hanya dibuka untuk solat lima waktu saja dan ditangguh dulu untuk solat Jumaat.

“Saya rasa tidak ada halangan untuk MAIK memberi kelulusan segera bagi masjid itu mendapat kebenaran solat Jumaat dalam masa terdekat ini.

“Bagi masjid lama pula, penduduk bersetuju mengadakan kelas mengaji al-Quran dan aktiviti agama setiap hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 4:33 PM