FOTO hiasan
FOTO hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


SEBUAH kilang yang menghasilkan makanan haiwan di Kerteh dijatuhi hukuman denda RM75,000 di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini.

Kilang berkenaan didakwa melakukan pencemaran udara iaitu bau busuk di sekitar kawasan berkenaan berikutan kegagalan mengendalikan alat kawalan pencemaran udara dengan baik.

Selain itu, pemilik kilang berkenaan turut berdepan hukuman penjara 10 bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas wakil pihak kilang berkenaan mengaku salah terhadap lima pertuduhan mengikut Peraturan 7 (3), Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 29, Peraturan-peraturan sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal mengendali dan menyelenggara sistem kawalan pencemaran udara bagi lima unit ‘scrubber’ dengan baik dan berkesan.

Ia tidak dilengkapi dan dikendalikan dengan peralatan kawalan sewajarnya serta gagal berfungsi dengan baik.

Kegagalan itu menyebabkan berlaku pencemaran udara iaitu bau busuk dan menimbulkan aduan orang ramai.

Kesalahan dilakukan antara jam 10 pagi hingga 4.45 petang pada 27 Mac 2019 dan 11.50 pagi hingga 2.30 petang pada 14 April 2019.

Sejurus pengakuan bersalah direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau dua bulan penjara bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 7:11 PM