TOMPOKAN darah mangsa selepas dirempuh kereta ketika melintas jalan di depan kompleks beli belah, Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
TOMPOKAN darah mangsa selepas dirempuh kereta ketika melintas jalan di depan kompleks beli belah, Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


POLIS sudah mengenal pasti identiti pelancong lelaki yang maut dilanggar ketika melintas di hadapan kompleks beli-belah di Jalan Tun Fuad Stephen di Kota Kinabalu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mangsa dikenali sebagai Klaus Friedrich Walter Knolke, 72, warga Jerman.

“Hasil siasatan mendapati mangsa menginap di sebuah hotel berhampiran lokasi kejadian dan berada di bandar raya ini sejak 9 Mac lalu dari Manila.

“Kami akan menghubungi waris mangsa untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian 7.38 malam kelmarin, mangsa dirempuh kereta Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun.

Mangsa yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia 8.44 malam.

Berita berkaitan

Pelancong maut dirempuh ketika melintas jalan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 11:52 AM