X
Orang ramai menggunakan penutup mulut sebagai langkah pencegahan. FOTO Arkib NSTP
Orang ramai menggunakan penutup mulut sebagai langkah pencegahan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa semua perhimpunan membabitkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham berkata, sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, dinasihatkan supaya tidak menghadiri program yang membabitkan orang ramai atau tempat yang padat termasuk aktiviti keagamaan.

“Individu yang bergejala dinasihatkan menjarakkan diri (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter apabila berdepan dengan individu lain.

“KKM menasihatkan orang ramai tidak melancong keluar negara terutamanya negara yang sedang mengalami wabak jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Dr Noor Hisham berkata, rakyat Malaysia yang bergejala jangkitan saluran pernafasan dinasihatkan tidak melawat kawasan lain di Malaysia ketika cuti sekolah.

“Amalkan langkah-langkah pencegahan dan jaga kebersihan diri,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang menyiapkan kertas kerja berkaitan Covid-19 bagi solat Jumaat dan aktiviti keagamaan susulan penularan jangkitan virus itu.

“Perbincangan bersama diadakan pada minggu lalu untuk kesiapsiagaan menbendung penularan gelombang kedua Covid-19.

“Kertas kerja itu termasuk panduan bersalaman, kenduri kahwin dan pengurusan jenazah,” katanya.

Hari ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik iaitu penularan dan keadaan wabak yang sangat membimbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 2:13 PM
Digital NSTP Subscribe