TEH (kiri) bersama bapanya, menunjukkan gambar yang tersebar di laman sosial kononnya mereka sekeluarga dijangkiti Covid-19 bersama Kok Soo (kanan). FOTO Zuliaty Zulkiffli.
TEH (kiri) bersama bapanya, menunjukkan gambar yang tersebar di laman sosial kononnya mereka sekeluarga dijangkiti Covid-19 bersama Kok Soo (kanan). FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA tak pasti apa tujuan individu berkenaan menyebarkan maklumat kononnya saya dan ahli keluarga dikuarantin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana dijangkiti Covid-19.

“Kami semua sihat dan bekerja seperti biasa dan bukannya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sekarang ini,” kata Teh Chao Sin, 26.

Menurutnya, maklumat mengenai mereka sekeluarga dijangkiti Covid-19 mula tular melalui WeChat, Facebook dan Instagram sejak 10 Mac lalu, namun dia hanya mengetahuinya 4 petang semalam.

Malah, katanya, individu terbabit turut menularkan gambar kononnya dia dan ibu berada di luar negara sebelum ini, sedangkan mereka tidak pernah pergi ke mana-mana.

“Individu terbabit turut meminta orang ramai supaya jangan menghampiri kedai makan bapa saya di Jalan Pintu 10, Alor Setar, kononnya bimbang dijangkiti wabak ini.

“Berikutan penyebaran maklumat palsu itu, kami kehilangan ramai pelanggan tetap dan perniagaan bapa turut terjejas sejak dua hari lalu,” katanya ketika ditemui di Alor Setar, hari ini.

Teh berkata, dia berharap individu terbabit tampil memohon maaf secara terbuka bagi mengelakkan maklumat tular itu berpanjangan kerana mereka sekeluarga kini dalam keadaan tertekan.

Berikutan itu, bapanya, Teh Teik Lee, 50, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.

“Jika didapati penyebaran kes itu adalah palsu, kes akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Teh Kok Soo dilaporkan berkata, setakat ini kerajaan negeri belum menerima laporan jangkitan Covid-19 di negeri ini dan keadaan masih terkawal.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 2:54 PM