LEBIH 500 peserta ijtimak tabligh Sarawak di Masjid Seri Petaling perlu tampil menjalani ujian saringan Covid-19. FOTO BERNAMA
LEBIH 500 peserta ijtimak tabligh Sarawak di Masjid Seri Petaling perlu tampil menjalani ujian saringan Covid-19. FOTO BERNAMA

LEBIH 500 peserta ijtimak tabligh negeri ini yang menyertai perhimpunan itu di Selangor, baru-baru ini dicari bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua individu berkenaan menghadiri perhimpunan itu di Masjid Seri Petaling, Selangor pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

“Jika anda atau sesiapa yang anda kenal ada menghadiri acara berkenaan, sila hadir ke hospital kerajaan atau pejabat kesihatan daerah terdekat,” katanya.

Sementara, Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hing, menafikan kematian seorang kanak-kanak di Miri semalam adalah berkaitan Influenza A, bukan disebabkan oleh Covid-19.

Beliau berkata, kanak-kanak berusia 11 tahun itu mendapat rawatan di Hospital Miri pada 8 Mac lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Miri pada hari yang sama.

Katanya, pesakit mengalami demam panas, batuk, muntah dan sesak nafas sejak 5 Mac.

Namun, beliau menjelaskan kes tidak mempunyai sejarah melawat ke luar negara atau mempunyai sejarah kontak dengan kes Covid-19 malah keputusan ujian makmal yang dijalankan sebanyak dua kali ke atas kanak-kanak berkenaan iaitu pada 9 dan 10 Mac juga didapati negatif.

“Kes meninggal dunia pada jam 5.45 pagi, 11 Mac 2020 di Hospital Miri dan disahkan akibat jangkitan Influenza A yang teruk menyebabkan organ gagal berfungsi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata tiada kes disahkan jangkitan Covid-19 di Sarawak setakat 12 Mac ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 7:19 PM
    Digital NSTP Subscribe