IDRIS Haron. FOTO arkib NSTP
IDRIS Haron. FOTO arkib NSTP
Amir Mamat

BEKAS Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron antara sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka.

Idris yang juga ADUN Sungai Udang, dilantik sebagai EXCO Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri.

Selain itu, dua ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) turut dilantik semula ke jawatan berkenaan.

Mohd Rafiq dipertanggungjawabkan memegang portfolio Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri, manakala Noor Effandi pula dilantik EXCO di Jabatan Ketua Menteri yang bertanggungjawab dalam aspek Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Teknologi negeri.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, ketika mengumumkannya di Ayer Keroh, hari ini, berkata, semua senarai berkenaan dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

SULAIMAN menunjukkan fail senarai nama EXCO baharu Melaka. FOTO Amir Mamat
SULAIMAN menunjukkan fail senarai nama EXCO baharu Melaka. FOTO Amir Mamat

Sulaiman akan mempengerusikan portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Pantai dan Sungai, Pengurusan Air, Hal Ehwal Agama, Perindustrian, Pelaburan, Teknologi, Komunikasi, Multimedia dan Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) diikuti ADUN Asahan, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan (EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar).

ADUN Rembia daripada PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis (EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan); ADUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar (EXCO Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan), manakala ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad (EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Insfrastruktur).

ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee pula dilantik semula sebagai EXCO Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan, dan Koperasi, manakala ADUN Ayer Molek, Rahmad Mariman (EXCO Kesihatan dan Antidadah).

Sulaiman turut mengumumkan satu lagi portfolio iaitu Perpaduan, Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna yang dikosongkan sementara dan bakal diisi dalam tempoh sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 1:00 PM
Digital NSTP Subscribe