ZAINI HUSSIN
ZAINI HUSSIN
Syaherah Mustafa


KELANTAN merekodkan kes Covid-19 pertama manakala 44 individu lagi yang menjadi peserta ijtimak tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling disyaki dijangkiti, selepas ujian saringan dijalankan.

Daripada jumlah berkenaan, tiga kes dimasukkan ke Hospital Kuala Krai kerana mempunyai tanda klinikal yang tinggi termasuk yang positif.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata kesemua sampel individu berkenaan sudah dihantar ke makmal untuk pengesahan lanjut.

Katanya, setakat ini, seramai 70 individu yang kebanyakannya penduduk luar Kelantan dikuarantin dan ditempatkan di Pusat Latihan Tumpat.

“Hanya kes yang memenuhi kriteria kemasukan ke wad sahaja akan dimasukkan ke wad. Bagi kes yang bergejala ringan dan tidak bergejala dibenarkan menjalani ‘home surveillance’ di rumah.

“Jabatan Kesihatan menggesa kerjasama daripada kumpulan tabligh yang pergi ke Masjid Sri Petaling itu supaya hadir saringan di fasiliti berdekatan.

“Kita tidak tahu berapa ramai dari Kelantan yang menyertai program itu cuma setakat ini 132 hadir untuk pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Zaini turut menasihatkan orang ramai khususnya yang mengalami gejala seperti batuk, selesema , demam dan sesak nafas supaya berada di rumah selain tidak digalakkan menghadiri tempat tumpuan awam seperti kenduri, pusat membeli-belah dan sebarang perhimpunan.

“Selain itu, masyarakat juga tidak digalakkan menganjurkan aktiviti serta perlu mengamalkan untuk bersalam dengan tetamu digantikan dengan meletakkan tangan kanan di dada sebelah kiri.

“Sekiranya bergejala dinasihatkan supaya menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan tetamu dan sentiasa menjaga kebersihan diri serta kerap mencuci tangan dengan sabun atau gunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer).

“Jika mengadakan sebarang majlis atau keraian sila sediakan tempat yang cukup untuk membasuh tangan yang dilengkapi dengan sabun dan bagi yang berkemampuan pastikan disediakan cecair pembasmi kuman kepada tetamu,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sentiasa memantau situasi kejadian Covid-19 dan orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini melalui laman sesawang dan media sosial Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 5:27 PM
    Digital NSTP Subscribe