HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Rafidah Mat Ruzki


WISMA Putra perlu memperkukuhkan koordinasi dengan Itali atau mana-mana negara yang ada rakyat Malaysia terjejas akibat Covid-19 sebelum sebarang usaha untuk membawa mereka keluar boleh dilaksanakan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ia berikutan ada beberapa perkara perlu dilihat termasuk masalah logistik seperti dihadapi ketika Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Malaysia untuk membawa pulang rakyat negara ini di Wuhan, China, yang menyaksikan ada antara mereka tidak dapat dibawa pulang berikutan isu logistik.

“Ia persoalan koordinasi dua hala dengan Itali. Itu tugas kita di sini. Saya harap ia tanpa dipengaruhi dengan emosi.

“Atas sebab itu Datuk Kamarudin Jaffar (Timbalan Menteri Luar) akan memaklumkan perkembangan semasa termasuk perbincangan kita dengan Itali,” katanya pada sidang media di Wisma Putra, Putrajaya, hari ini.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas rayuan seorang rakyat Malaysia melalui media sosial yang meminta supaya kerajaan membawa keluar rakyat negara ini berikutan peningkatan kes Covid-19 di Itali.

Ketika ini, terdapat 380 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Itali selain seramai 35 penjawat awam serta keluarga mereka.

Ditanya sama ada usaha untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari negara lain yang turut terjejas, Hishammuddin berkata, pihaknya perlu melihat tahap serius jangkitan di negara berkenaan.

“Ketika ini, Wisma Putra sedang memantau negara lain seperti Jerman, selepas Canselor Angela Merkel memberi amaran sehingga 70 peratus daripada kira-kira 58 juta rakyat negara itu berkemungkinan dijangkiti Covid-19.

“Saya sudah mengarahkan supaya kedutaan kita untuk menghubungi dan mengikuti secara dekat seramai 2,218 rakyat Malaysia di Jerman.

“Kita kena ambil langkah proaktif. Bukan kita nak menidakkan Jerman, tapi ia datang daripada pemimpin dia sendiri.

“Ada rakyat kita terkandas di China bukan sebab kita, tapi (halangan) kerajaan China sendiri atau kerajaan tempatan di China. Sama dengan Itali, sebelum kita bawa mereka keluar, kita perlu dapatkan hubungan selesa dengan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, beliau baru dimaklumkan mengenai perkembangan terkini berhubung usahasama antara Kerajaan Johor dan Kerajaan Singapura dalam menangani secara lebih serius penularan wabak Covid-19 di Johor dan Singapura.

Katanya, beliau yang dimaklumkan mengenai perkara itu melalui panggilan telefon daripada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad, berkata, usahasama itu amat penting memandangkan ramai rakyat Malaysia dan Singapura berulang alik antara Johor-Singapura terutama atas urusan kerja.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 5:34 PM
    Digital NSTP Subscribe