MPK menampal notis penutupan sebuah premis perniagaan di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
MPK menampal notis penutupan sebuah premis perniagaan di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


SEBANYAK 16 premis perniagaan di Kuantan, Pahang ditutup serta merta dalam `Ops Tutup’ oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di sini.

Operasi dua hari sejak kelmarin itu menumpukan 316 premis perniagaan yang gagal memperbaharui lesen perniagaan mereka walaupun notis dikeluarkan sejak Januari lalu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, setakat ini, operasi itu masih diteruskan bukan sahaja di pusat perniagaan terkemuka, malah di pusat membeli belah.

Katanya, bayaran lesen yang gagal dijelaskan antara RM300 hingga RM700 iaitu bergantung kepada jenis perniagaan yang diusahakan.

“Kita harap operasi ini akan membantu MPK untuk mengutip bayaran lesen perniagaan daripada pemilik premis yang beroperasi tanpa lesen. Tindakan ini selaras dengan peruntukan Seksyen 101 (1) (v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Bagi premis perniagaan yang ditutup dan ingin beroperasi seperti biasa, mereka mempunyai tempoh 14 hari untuk membuat pembayaran. Jika masih gagal berbuat demikian, peniaga terbabit bakal berdepan kes di mahkamah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norkamawati berkata, berdasarkan laporan, seramai 600 pemilik premis perniagaan menerima notis kerana gagal menjelaskan bayaran lesen perniagaan pada Januari lalu.

“Hanya 284 pemilik premis menjelaskan bayaran manakala 316 pemilik gagal berbuat demikian.

“Sehubungan itu, kita meminta peniaga yang tidak mahu premis mereka ditutup serta merta supaya menjelaskan bayaran dengan segera dan tiada lagi kompromi,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 8:33 PM