RASHIDILHADI Abd Rashid (kiri) menunjukkan ikan yang dirampas. FOTO ROSLI ILHAM
RASHIDILHADI Abd Rashid (kiri) menunjukkan ikan yang dirampas. FOTO ROSLI ILHAM


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan bot nelayan Vietnam ketika sedang leka merompak hasil laut negara, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot terbabit ditahan pada jarak 101, batu nautika dari arah timur Kuala Kemaman, pada 10 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian kapal ronda KM Marlin milik Maritim Malaysia sedang melaksanakan OP Iman dan OP Naga Barat di sekitar perairan Terengganu.

“Ketika melalui tempat kejadian, pihak kami terserempak dengan bot terbabit yang terdiri daripad 20 nelayan warga Vietnam terbabit sedang leka menangkap ikan.

“Sebaik melihat kehadiran kapal kami, bot terbabit cuba melarikan diri namun kita berjaya memintasnya sebelum menahan bot terbabit,” katanya dalam sidang media di jeti APMM Kemaman, petang ini. .

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati 20 awak-awak termasuk tekong berusia antara 16 hingga 44 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Rashidilhadi berkata, pemeriksaan lanjut menemui 1,500 kilogram ikan campur yang dipercayai dirompak di perairan negara ini.

“Kesemua hasil tangkapan termasuk peralatan menangkap ikan serta bot yang dianggarkan bernilai RM 1.2 juta dirampas. Kita percaya mereka baru beberapa hari menceroboh perairan negara dan berjaya merompak begitu banyak hasil tangkapan,”katanya.

Menurutnya, bot dan hasil rampasan bersama nelayan Vietnam ini dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman.

“Kesemua nelayan asing itu akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan serta Seksyen (3) akta yang sama kerana memasuki perairan negara tanpa kebenaran,” katanya.

Tambah beliau, Op Naga Barat Siri 1/2019 yang bermula sejak 26 April 2019 hingga sekarang berjaya melaksanakan 3,060 pemeriksaan dengan menghasilkan 141 tangkapan.

“Jumlah ini merangkumi semua pemeriksaan dan tangkapan oleh pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi khas ini yang dikoordinasikan oleh Maritim Malaysia.

“Operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing ini akan diteruskan tanpa henti,”katanya.

Rashidilhadi berkata, pihaknya akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut negara dan khazanahnya daripada dicuri dan dirompak oleh nelayan-nelayan asing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 9:19 PM