WAN Rosdy menyampaikan penghargaan dan penyampaian insentif kepada pemenang pingat para sukma Pahang. FOTO Asrol Awang
WAN Rosdy menyampaikan penghargaan dan penyampaian insentif kepada pemenang pingat para sukma Pahang. FOTO Asrol Awang


KERAJAAN Pahang menangguhkan program yang membabitkan penyertaan orang ramai berikutan kebimbangan penularan wabak Covid-19.

Setakat ini, dua program besar yang ditangguhkan ialah Istiadat Konvokesyen dan Sambutan 28 Tahun Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) yang sepatutnya berlangsung esok.

Selain itu, Forum Pelaburan Dan Festival Pahang 2020 (FPFP 2020) yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 9 hingga 12 April depan turut ditangguh.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penangguhan itu selepas mengambil kira pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, di peringkat negeri, segala program yang ingin dianjurkan akan dirujuk dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang.

“Semua keputusan berkaitan penganjuran program akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada JKN Pahang terlebih dahulu.

“Pada masa sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri akan mengadakan mesyuarat berhubung penularan Covid-19,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada media selepas majlis penghargaan dan penyampaian insentif pemenang pingat atlet para sukma Perak 2018 di Kuantan, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd Johari Hussain; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Mu’azamir Jili; dan Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Pahang, Datuk Mohd Zaili Besar.

Mengulas keputusan penangguhan FPFP 2020, beliau berkata, ia adalah keputusan tepat memandangkan FPFP berlangsung di ibu negara.

“Pada masa sama, ia sudah pasti membabitkan ramai peserta termasuk dari luar negara dan penangguhan itu adalah keputusan terbaik.

“Bagi saya, rakyat rakyat mudah percaya dengan khabar angin, sebaiknya mendapat sumber sahih terutama daripada KKM,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 10:53 AM
    Digital NSTP Subscribe