DATUK Mohd Yusof Ahmad. FOTO Iqmal Haqim Rosman
DATUK Mohd Yusof Ahmad. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Amin Jalil


MULTAQA Pemegang Tauliah Mengajar Agama di Negeri Sembilan siri 1/2020 yang dijadual berlangsung di Pusat Dakwah Islamiah Paroi 18 Mac ini ditangguhkan susulan kebimbangan penularan wabak COVID-19.

Ia selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya sebarang perhimpunan ramai ditangguhkan sebagai langkah pencegahan dan mengekang penularan Covid-19.

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, program ini dirancang Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) dan ditangguhkan ke satu masa lain.

“Pada masa sama, kami juga setuju dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membabitkan solat Jumaat.

“Mereka yang mempunyai simptom Covid-19 tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk kalangan orang yang sakit,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pengurusan masjid dan surau juga wajib menyediakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) dan penutup mulut sebagai langkah pencegahan dan keselamatan.

Sementara itu, jurucakap bahagian khidmat pelanggan Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ) berkata, waktu melawat di hospital itu kini diubah sebagai langkah menangani Covid-19.

“Waktu melawat ditetapkan antara jam 1 tengah hari hingga jam 2 petang dan jam 5 hingga jam 6.30 petang setiap hari termasuk pada Sabtu dan Ahad.

“Ia berbanding sebelum ini iaitu daripada jam 12.30 tengah hari hingga jam 7.30 malam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 3:04 PM
    Digital NSTP Subscribe