FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


KERAJAAN dijangka melarang pengilang topeng mulut dan hidung mengeksport barangan berkenaan sebaliknya menggesa mereka mengutamakan pengeluaran untuk keperluan dalam negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu sedang diteliti berikutan permintaan tempatan yang semakin meningkat berikutan penularan wabak Covid-19.

Selain itu katanya, langkah berkenaan juga dicadangkan berikutan kesukaran untuk mendapatkan material bagi menghasilkan topeng mulut dan hidung.

“Material untuk menghasilkan topeng berkenaan tidak diperolehi di negara kita, sebaliknya ia perlu diimport dari China serta beberapa negara Eropah.

“Kini ia semakin sukar diperoleh berikutan permintaan topeng mulut dan hidung yang meningkat di seluruh dunia,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di pusat beli-belah The Spring, di sini, hari ini.

Nanta berkata, ketika ini terdapat hanya empat pengilang yang menghasilkan produk topeng mulut dan hidung di negara ini.

“Kita mahu mereka meningkatkan pengeluaran dan memberi tumpuan untuk bekalan keperluan tempatan.

“Topeng mulut dan hidung diperlukan di seluruh dunia ketika ini, namun pengilang harus mengutamakan pengguna tempatan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa peniaga dan pembekal supaya tidak menjual topeng berkenaan dalam kuantiti yang banyak kepada orang perseorangan.

“Kita tidak mahu apabila individu membeli sekotak besar topeng itu, ia akan menjejaskan orang lain yang turut memerlukan barangan itu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberi amaran kepada peniaga dan pembekal tidak mengambil kesempatan menaikkan berikutan permintaan yang meningkat mendadak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 4:18 PM