Waktu melawat hospital seluruh negara dipendekkan
Waktu melawat hospital seluruh negara dipendekkan
Mohamed Farid Noh


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan waktu lawatan di hospital seluruh negara dipendekkan susulan penularan Covid-19 yang semakin serius.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, arahan berkenaan sudah dikeluarkan kepada semua hospital seluruh negara sejak semalam.

“Langkah memendekkan waktu lawatan setengah jam pada tengah hari dan satu jam pada sebelah petang sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“KKM juga sudah meminta kerjasama daripada hospital swasta (pendekkan waktu lawatan) bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 dan yakin ia akan dipatuhi,” katanya dalam sidang media di Hospital Permai, di Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu.

Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru sudah memendekkan waktu lawatan pelawat iaitu setengah jam pada tengah hari dan satu jam sebelah petang, sejak semalam.

Sementara itu, Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara itu menggesa orang ramai supaya menghormati keputusan kerajaan yang memutuskan supaya semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April ini.

“Berkenaan had perhimpunan awam, saya menggesa rakyat tidak laksanakan perhimpunan (awam) melebihi 50 orang pada satu masa.

“Mungkin jika keadaan wabak bertambah serius, kita akan lihat dari segi perundangan dan akta bagi mengehadkan perhimpunan awam. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya mencuci tangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:53 PM
Digital NSTP Subscribe