Topeng mulut dan hidung kehabisan stok di Kuching. FOTO MOHD ROJI KAWI
Topeng mulut dan hidung kehabisan stok di Kuching. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Amin Jalil


MASALAH bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman turut dialami di Negeri Sembilan apabila orang ramai sukar mendapatkan bekalan barangan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata masalah itu sudah mula dikesan sejak gelombang kedua wabak Covid-19.

“Kita dapati bekalan penutup muka dan mulut serta cecair pembasmi kuman tidak mencukupi apabila banyak aduan diterima daripada orang ramai yang mengadu barangan berkenaan kehabisan stok di beberapa premis perniagaan sekitar negeri ini terutama di Seremban.

“Perkara ini turut dibangkitkan dalam mesyuarat Gerakan Pengguna Negeri Sembilan (GPNS) baru-baru ini. Menerusi kerjasama dengan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pegguna (KPDNHEP), kerajaan negeri sedang berusaha untuk mendapatkan kerjasama daripada pembekal tempatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, bekalan barangan berkenaan terutama cecair pembasmi kuman dijangka akan diperolehi daripada syarikat pembekal tempatan dalam tempoh sehari dua ini untuk diagihkan kepada sekolah.

Bagaimanapun Veerapan berkata, pihaknya tidak dapat menjangkakan kuantiti barangan berkenaan yang akan diterima.

“Kerajaan negeri akan berusaha menangani masalah bekalan barangan berkenaan dan akan turut bekerjasama dengan kementerian berkaitan supaya bekalan barangan itu tidak putus.

“Pihak kita juga akan pastikan tiada peniaga yang ambil kesempatan menyorokkan atau menaikkan harga topeng muka dan mulut serta cecair pembasmi kuman,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (NESCA) Khairuddin Yunus, berkata pihaknya sentiasa memantau bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi penjualan penutup hidung dan mulut di negeri ini.

Menurutnya, selain memastikan barangan itu mencukupi untuk keperluan orang ramai bagi menghadapi Covid-19, harganya juga perlu kekal dan tiada pihak yang menaikkan harga.

“Bekalan dilihat sudah semakin kurang berpandukan beberapa aduan yang diterima dari pengguna dan berharap pihak berkuasa dapat mengatasi masalah stok,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 9:09 PM
    Digital NSTP Subscribe