PENDUDUK melihat kawasan pokok mangga yang dicuri. FOTO Rosman Shamsudin
PENDUDUK melihat kawasan pokok mangga yang dicuri. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


TIGA pokok mangga ‘Nam Dok Mai’ yang ditanam di laluan masuk Taman Slim Permata, Slim River menjadi sasaran pencuri dipercayai berlaku awal pagi tadi.

Kejadian disedari penduduk pada 7 pagi tadi selepas pokok berusia kira-kira setahun itu hilang dan hanya tinggal kesan lubang yang dikorek.

Difahamkan, sebelum ini penduduk yang mengusahakan tanaman pisang turut menjadi sasaran pencuri.

Penduduk, Intan Efazila Md Yusop, 40, berkata pokok mangga itu ditanam beberapa penduduk secara muafakat untuk membuat lanskap buah-buahan tempatan di taman itu.

Menurutnya, pokok mangga itu berusia kira-kira setahun dan ada pokok sudah berbuah kerana dijaga serta dibaja dengan baik setiap hari.

“Sebelum ini hanya dahan dipatahkan dan diambil daripada pokok mangga itu tetapi kali ini lebih teruk, pokok itu pula menjadi sasaran.

“Petang semalam, suami saya membalut buah mangga dengan surat khabar tetapi bangun pagi lihat tiga pokok mangga hilang,” katanya ketika ditemui, dekat sini.

Terdapat 11 pokok mangga pelbagai jenis ditanam di sepanjang laluan masuk ke taman berkenaan terdiri daripada pokok mangga harum manis, chokanan, epal, dan Nam Dok Mai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 11:45 AM