PROF Dr Azizan Abdullah (tengah) menyembur cecair pembasmi kuman ke tangan Izyan Nabilah Ismail, 19 (kiri) dan rakan ketika hadir ke Program Zero Hunger 2020 di UiTM Machang. FOTO Nor Amalina Alias
PROF Dr Azizan Abdullah (tengah) menyembur cecair pembasmi kuman ke tangan Izyan Nabilah Ismail, 19 (kiri) dan rakan ketika hadir ke Program Zero Hunger 2020 di UiTM Machang. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) merancang membuat cecair pembasmi kuman sendiri berikutan penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

Pembuatan cecair itu akan dijalankan dengan kerjasama dua fakulti pengajian universiti iaitu Fakulti Farmasi dan Fakulti Sains Kesihatan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof Dr Azizan Abdullah berkata, tindakan itu diambil memandangkan keberadaan cecair pembasmi kuman itu semakin berkurangan dalam pasaran berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat dalam negara.

Menurutnya, UiTM mempunyai kepakaran dalam bidang makmal dan perubatan, pihaknya akan menjalankan kajian pembuatan cecair itu mengikut bancuhan sendiri.

“Kita akan segerakan penghasilan cecair pembasmi kuman ini dan akan dimanafaatkan di dalam kampus dan kegunaan warga UiTM.

“Buat masa ini, kita juga sediakan cecair pembasmi kuman yang dibeli di pasaran untuk ditempatkan di kawasan strategik dan keluar masuk untuk galakkan orang yang berurusan di universiti mengambil langkah pencegahan Covid-19,” katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas merasmikan Program Zero Hunger 2020 di UiTM Machang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Rektor UiTM Machang, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed dan Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri (KPPN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Hassan.

Azizan berkata, selain itu Uitm turut menangguhkan semua acara anjuran universiti dan menjalankan aktiviti kuliah secara atas talian di semua 13 kampus UiTM bermula hujung Februari lalu bagi mengatasi penyebaran virus ini.

Katanya, surat pekeliling sudah dikeluarkan dan dihantar kepada rektor semua kampus dan antara aktiviti yang ditangguhkan adalah aktiviti lawatan akademik, penganjuran sukan seperti perlawanan bola sepak piala pegawai pembangunan dan sukan kolej (SUKOL).

“Semua aktiviti ini akan dilaksanakan selepas melihat pada situasi Covid-19 dan kita akan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Bagi pengajian dan pembelajaran dalam kelas juga kita buat melalui atas talian, pensyarah dan pelajar akan berada di talian dalam waktu tertentu seperti jadual kelas asal, kita juga memberi peringatan kepada warga UiTM untuk mengelakkan berada di kawasan tumpuan ramai seperti pasar malam dan pasaraya bagi mengelakkan risiko jangkitan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat 23 pelajar dan 15 kaki tangan UiTM dikuarantin sementara selepas dikesan pulang dari negara wabak Covid-19 dan berada bersama individu yang dijangkiti virus itu.

Bagaimanapun, selepas mendapatkan pemeriksaan, kesemua mereka didapati negatif covid-19

“Mereka datang sendiri secara sukarela untuk diperiksa, jadi banyak langkah diambil UiTM bagi memastikan pelajar dan warga universiti tidak terdedah kepada risiko Covid-19.

“Ini adalah kerana kita mempunyai lebih 165,000 pelajar seluruh negara, jadi bayangkan kalau seorang yang terkena jangkitan itu, sukar dah kita nak bendung, jadi kita ambil langkah seawal mungkin supaya tiada warga UiTM dijangkiti,” katanya.

Terdahulu, UiTM turut menangguhkan Istiadat Konvokesyen ke 92 yang dijadual berlangsung di kampus utama Shah Alam pada 24 Mac ini diikuti kampus cawangan seluruh negara seperti Kelantan, Melaka, Sabah dan Negeri Sembilan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 4:01 PM
    Digital NSTP Subscribe