GAMBAR hiasan. FOTO Hairul Anuar Rahim
GAMBAR hiasan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Samadi Ahmad


JUALAN penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman di beberapa farmasi di sekitar pusat perniagaan Presint 15 Putrajaya laris hingga kehabisan stok sejak beberapa bulan lalu.

Tinjauan mendapati pemilik farmasi dan pasar raya masih menunggu stok baharu penutup hidung dan mulut memandangkan permintaan tinggi dan pembelian secara panik daripada orang ramai.

Difahamkan, setiap pek penutup hidung dan mulut mengandungi tiga keping dijual dengan harga RM2.40 manakala cecair pembasmi kuman RM30 hingga RM39 setiap 500 mililiter (ml).

Seorang jurucakap farmasi VCare berkata, penutup hidung dan mulut itu putus bekalan sejak sebulan lalu sejak peningkatan wabak Covid-19.

Menurut beliau, kehabisan stok penutup hidung dan mulut itu turut menjejaskan perniagaan di lima cawangan farmasi itu yang terletak di Lembah Klang.

Katanya, pembelian secara panik dalam kalangan pengunjung juga menyebabkan stok cepat habis di samping kekurangan bekalan dari kilang.

Jurucakap premis peruncit kecantikan dan kesihatan mengakui berlaku kekurangan penutup mulut dan hidung berikutan penularan Covid-19 di seluruh negara ketika ini.

Menurut beliau, syarikat mempunyai banyak cawangan di seluruh negara dan jadi kita terima bekalan penutup muka dan mulut serta cecair pembasmi kuman dalam jumlah yang kecil dan terhad.

Katanya, setakat ini setiap minggu pihaknya menerima bekalan penutup muka dan mulut serta cecair pembasmi kuman tetapi dijual secara terhad kepada setiap pembeli.

Sementara itu, seorang pengguna, Amran Dakil, 42, dari Cheras berkata, bekalan penutup muka dan mulut sangat sukar ditemui kerana semua premis perniagaan kehabisan stok sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, masalah bekalan topeng muka dan mulut dan cecair pembasmi kuman turut dialami di Pulau Pinang kerana sebelum ini pernah cuba mendapatkan bekalan berkenaan ketika bertugas di luar kawasan.

“Kerajaan perlu bertindak segera kerana sebelum ini pernah berjanji untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan topeng muka dan mulut agar tidak menimbulkan masalah besar kepada rakyat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 4:15 PM
    Digital NSTP Subscribe