Redzuan Muharam

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat langkah tambahan memperkukuhkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) hasil mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Putrajaya, hari ini.

Ia merangkumi bantuan kewangan membantu pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, diskaun caj elektrik untuk sektor komersial, perindustrian dan pertanian, pembayaran awal bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pelaksanaan projek kecil PRE 2020 berjumlah RM2 bilion.

Menurut Muhyiddin, bantuan kewangan RM600 diberi kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji setiap bulan untuk tempoh maksimum enam bulan.

Katanya, bantuan itu layak untuk pekerja yang diberi notis tanpa gaji mulai 1 Mac 2020 dan pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan.

“Langkah ini melibatkan peruntukan RM120 juta dan seramai 33,000 pekerja disasarkan menerima faedah tersebut,” katanya pada sidang media mengenai hasil mesyuarat pertama EAC.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kategori perniagaan terjejas berikutan koronavirus baharu (Covid-19) terutamanya pelancongan juga menerima diskaun 15 peratus bagi penggunaan elektrik untuk tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September depan seperti dalam PRE 2020 pada 27 Februari lalu.

MUHYIDDIN YASSIN
MUHYIDDIN YASSIN

Selain itu, kerajaan memutuskan memberi diskaun dua peratus bagi semua pengguna lain dalam sektor komersial, perindustrian dan pertanian serta pengguna domestik bermula 1 April hingga 30 September depan mengambil kira penularan Covid-19 yang menyebabkan impak lebih meluas.

“Langkah dua peratus ini dijangka melibatkan anggaran peruntukan RM500 juta. Diskaun ini akan dimanfaatkan oleh lebih daripada 10 juta isi rumah dan pengguna komersial, industri serta pertanian,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, seperti diumumkan dalam PRE 2020 pada 27 Februari lalu, pembayaran sebanyak RM200 akan dibuat kepada setiap penerima BSH pada 16 Mac 2020 yakni diawalkan daripada tarikh asal yang dijadualkan Mei depan.

Menurut Muhyiddin, bayaran berjumlah RM760 juta itu akan memanfaatkan seramai 3.8 juta isi rumah BSH.

“Bayaran tambahan sebanyak RM100 seperti mana yang telah diumumkan

dalam PRE2020 akan dibayar pada bulan Mei 2020 dan bayaran tambahan bulan Mei ini melibatkan RM500 juta yang akan memanfaatkan 5 juta penerima BSH,” katanya.

Langkah terakhir diumumkan Muhyiddin adalah pelaksanaan projek Kecil PRE2020 berjumlah RM2 bilion yang akan mula dilaksanakan bermula April depan.

“Pelaksanaan ini dipantau oleh Ketua Setiausaha Negara dan laporan mingguan akan diberikan kepada YAB Perdana Menteri.

“Projek ini akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur luar bandar dan akan dilaksanakan oleh kontraktor Bumiputera kecil.

“Kementerian Kewangan mengeluarkan Pekeliling berkuatkuasa 16 Mac 2020 untuk menaikkan siling cabut undi daripada RM50,000 kepada RM100,000 dan sebut harga daripada RM500,000 kepada RM800,000,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 7:16 PM