PENDUDUK di sempadan Kelantan-Thailand menggunakan bot penambang untuk keluar masuk. FOTO Arkib NSTP.
PENDUDUK di sempadan Kelantan-Thailand menggunakan bot penambang untuk keluar masuk. FOTO Arkib NSTP.
Nor Fazlina Abdul Rahim


KERAJAAN Kelantan mengingatkan semua pihak termasuk penduduk yang tinggal di sempadan, supaya akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa esok.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Arahan dikeluarkan untuk keselamatan semua orang. Kerajaan mengeluarkan arahan namun yang melaksana adalah orang ramai.

“Jadi, jangan pandang ringan arahan yang dikeluarkan kerana ini (Covid-19) membabitkan nyawa. Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, mungkin wabak ini dapat diatasi,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.

Mohd Amat turut memaklumkan semua pejabat kerajaan negeri ditutup bermula esok sehingga 31 Mac sebagaimana arahan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika ditanya mengenai pembelian panik di Kelantan sebagaimana tular di media sosial, Mohd Amar menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kerajaan sudah memberi jaminan bekalan makanan mencukupi.

“Janganlah kita membeli barang untuk disimpan sampai setahun kerana keadaan kita belum sampai tahap itu.

“Pembelian panik yang menyebabkan orang ramai berkumpul di pasar raya juga boleh mengundang bahaya yang menyebabkan tersebar virus,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac hingga 31 Mac 2020), di seluruh negara.

Beliau berkata, perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Katanya, perintah kawalan pergerakan ini membabitkan pertamanya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 1:00 PM