MOHD Faizal (kiri) dan Sulriani mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan memiliki jam tangan jenama tiruan.FOTO Mohd Rafi Mamat
MOHD Faizal (kiri) dan Sulriani mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan memiliki jam tangan jenama tiruan.FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


TINDAKAN dua peniaga menjual jam berjenama tiruan memakan diri apabila masing-masing didenda RM25,000 dan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas Sulriani Suliman, 40, dan Mohd Faizal Abdul Rashid, 38, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan berasingan.

Siti Aminah menetapkan hukuman denda RM25,000 ke atas Sulriani dan penjara 12 tahun sekiranya gagal membayar denda itu.

Manakala, Mohd Faizal didenda RM20,000 dan penjara 10 bulan jika gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, Sulriani didakwa memiliki jam tangan berjenama Casio sebanyak 40 unit, model Baby-G (30 unit) dan model G-Shock (422 unit) dengan menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah di premis perniagaannya di bandar Kuantan.

Sementara Mohd Faizal pula didakwa memiliki jam tangan Casio sebanyak 75 unit dan model G-Shock (786 unit) yang turut menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah di premis perniagaannya di pasar raya besar Giant, Kuantan.

Mereka ditahan ketika serbuan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP) Pahang pada 9 Mac lalu.

Kedua-dua peniaga itu didakwa mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 dan Seksyen 102 (1)(c) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 102 (1)(ii) akta serupa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP Syamsul Kahar Ahmad Nadri, manakala peniaga itu tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Syamsul Kahar memohon hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada Orang Kena Saman (OKS) dan orang awam supaya tidak menjual barangan jenama tiruan.

Sementara, peniaga berkenaan memohon hukuman lebih ringan kerana sudah insaf.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 5:02 PM