Dziyaul Afnan Abdul Rahman


WARGA Thailand yang melawat negara ini mula keluar pulang ke negara asal sejak pagi tadi selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa tengah malam ini hingga 31 Mac.

Tinjauan NSTP di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar mendapati ratusan kenderaan bernombor pendaftaran Thailand beratur sepanjang kira-kira dua kilometer dari pintu sempadan berikutan salah faham yang timbul dalam kalangan mereka sejak pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis, Sukmawati Mohd Idris berkata, tiada halangan ke atas warga Thailand jika mereka mahu pulang ke negara asal meskipun perjalanan pulang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Tempoh kawalan hanya dikenakan ke atas warga negara ini yang mahu ke luar negara dan bagi warga Thailand mereka boleh keluar mengikut pintu sempadan Padang Besar meskipun perintah kawalan sudah bermula.

“Namun mereka (warga asing) tidak dibenarkan masuk semula ke negara ini selepas keluar dalam tempoh terbabit, hanya warga Malaysia yang berada di luar negara sahaja yang diterima masuk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ANGGOTA Rela mengawal lalulintas berikutan kesesakan kenderaan warga Thailand yang berbaris untuk keluar daripada Malaysia. FOTO AMRAN HAMID
ANGGOTA Rela mengawal lalulintas berikutan kesesakan kenderaan warga Thailand yang berbaris untuk keluar daripada Malaysia. FOTO AMRAN HAMID

Beliau berkata, pihaknya setakat ini menerima arahan sedemikian di pintu sempadan daripada pihak atasan dan sebarang makluman terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, salah seorang warga Thailand, Sopian Che Pa, 35 berkata dia mengambil keputusan untuk meninggalkan negara ini selepas menerima maklumat mengenai Perintah Kawalan Pergerakan daripada rakan senegaranya semalam.

“Memandangkan tempoh melawat akan tamat pada minggu hadapan selain untuk mengelakkan sebarang kesulitan dan masalah yang timbul, saya ambil keputusan untuk pulang ke Pattani.

“Saya sudah menunggu di dalam kereta sejak jam 9 pagi bersama keluarga dan berharap masalah yang timbul akan segera selesai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 5:41 PM