PANTAI Batu Hitam, Kuantan antara pantai peranginan yang disekat dikunjungi orang ramai bermula esok hingga 31 Mac ini. FOTO Asrol Awang
PANTAI Batu Hitam, Kuantan antara pantai peranginan yang disekat dikunjungi orang ramai bermula esok hingga 31 Mac ini. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) menyekat kemasukan pengunjung di pantai peranginan dan pusat rekreasi di daerah ini bermula esok hingga 31 Mac ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, sekatan itu antaranya membabitkan Pusat Rekreasi Balok, pantai Teluk Cempedak dan Pantai Batu Hitam.

Katanya, selain itu, sekatan itu turut membabitkan kemasukan pengunjung di Bazar Serambi Teruntum, Terowong Sungai Lembing dan Mini Zoo Teruntum.

“Pegawai penguat kuasa MPK akan mengadakan rondaan di kawasan tumpuan pelancong bagi memastikan orang ramai tidak berada di situ.

“Perintah kawalan itu dibuat sepertimana arahan kerajaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 Perintah Kawalan Pergerakan.

“Oleh itu, Kita minta orang ramai mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan bagi mencegah penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norkamawati berkata, penutupan turut membabitkan Kompleks Akuatik Indera Mahkota, Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA), Stadium Hoki Kuantan, gelanggang tenis Taman Gelora dan gelanggang badminton Kubang Buaya.

Katanya, selain itu, Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Dewan Wisma Belia Indera Mahkota dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang.

“Semua premis perniagaan termasuk di pusat membeli belah dan gerai ditutup sebagai langkah pencegahan wabak terbabit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 5:57 PM