KEADAAN lengang ketika tinjauan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur selepas kerajaan mengumumkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula esok sehingga 31 Mac 2020. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KEADAAN lengang ketika tinjauan di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur selepas kerajaan mengumumkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula esok sehingga 31 Mac 2020. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Muhaamad Hafis Nawawi


MEREKA yang ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan boleh berdepan dengan tindakan undang-undang termasuk dipenjarakan.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 membenarkan pendakwaan dilakukan di mahkamah.

Menurutnya, akta ini membenarkan pendakwaan atau pertuduhan dibuat kepada individu yang ingkar.

Katanya, sabit kesalahan mereka boleh dipenjara dua tahun jika ia adalah kesalahan pertama dan penjara lima tahun jika dilakukan sekali lagi termasuk dikenakan denda.

“Pada pandangan saya, pendakwaan mungkin boleh dibuat tetapi ia lebih kepada keperibadian atau membentuk kematangan rakyat Malaysia.

“Persoalan adakah akta ini sah di sisi undang-undang atau tidak... ia adalah sah di sisi undang-undang kerana dibenarkan dan bukan perkara baharu kerana dilaksanakan sejak 1988,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Shamrahayu berkata, apa yang diumumkan Perdana Menteri Taman Sri Muhyiddin Yassin, malam semalam adalah satu kenyataan menggunakan undang-undang sedia ada.

“Kedua-dua undang-undang itu sudah lama digunakan dan bukan akta baharu atau darurat, namun ia hanya satu penguat kuasaan undang-undang sedia ada.

“Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 adalah satu akta secara umum meletakkan kewajiban kepada rakyat supaya mereka juga boleh mengawal atau mencegah penyakit berjangkit,” katanya.

Katanya, Akta Polis 1967 pula membolehkan tindakan penguat kuasaan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pencegahan dan kawalan penyakit dapat dilakukan dengan sempurna.

“Saya juga menyeru orang ramai mengambil tindakan secara peribadi dengan mengawalnya supaya sama-sama mencegah daripada terus berlaku dan berleluasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 6:14 PM
    Digital NSTP Subscribe