PENOLONG Pegawai Perubatan Penjara Marang sedang memeriksa suhu badan penghuni bagi mencegah penularan Covid-19 di dalam penjara. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
PENOLONG Pegawai Perubatan Penjara Marang sedang memeriksa suhu badan penghuni bagi mencegah penularan Covid-19 di dalam penjara. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


PENJARA Marang mengambil langkah proaktif dengan menjalankan pemeriksaan dan saringan ke atas semua kakitangan, banduan dan pelawat bagi mengekang penularan Covid-19.

Pegawai Perubatan Klinik Penjara Marang Dr Shahmil Sautarwin berkata, pemeriksaan di pintu masuk ke atas kakitangan penjara, banduan baru dan pelawat dijalankan sejak seminggu lalu.

“Kami akan memeriksa suhu badan kakitangan yang mula bertugas sebelum diminta menggunakan cecair pembasmi kuman dan penutup hidung serta mulut.

“Saringan sama juga dijalankan ke atas pelawat yang menemui penghuni dan sekiranya pelawat mengalami simptom demam dan batuk, mereka diminta untuk menangguhkan sesi perjumpaan itu,” katanya ditemui di Penjara Marang semalam.

Dr Shahmil berkata, cecair pembasmi kuman dan penutup hidung serta mulut disediakan di semua tempat untuk memberi kemudahan kepada kakitangan bertugas menggunakannya.

“Penting untuk kami pastikan tahap pencegahan Covid-19 di penjara dijalankan pada tahap terbaik kerana risiko penyakit itu berjangkit dan mudah tersebar dalam penjara berkali ganda berbanding di luar.

“Bukan sahaja Covid-19 malah penyakit berjangkit lain yang turut dipantau termasuk HIV dan tuberkulosis (TB),” katanya.

Menurut beliau, jumlah terkini penghuni di Penjara Marang ialah 2,980.

“Penjara Marang memiliki 396 kakitangan. Sehingga kini, tiada kes Covid-19 di penjara membabitkan kakitangan dan penghuni dilaporkan.

“Selepas berlaku penularan wabak di negara ini, kami juga menjalankan sesi soal jawab bersama kakitangan dan pelawat sebelum memasuki penjara.

“Penting untuk kami tahu sekiranya mereka ada ke luar negara atau mempunyai ahli keluarga terdekat pernah menghadiri mana-mana perhimpunan dalam skala besar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 10:08 PM